Rawatan berdiang atau bersalai ini menonjolkan nilai ekspresif yang boleh dilambangkan sebagai rawatan tradisi Brunei yang harus dipertahankan. Nilai ekspresif dalam teknologi memberi penekanan kepada keindahan, kecantikan dan kehalusan teknologi. Walaubagaimana pun, rawatan berdiang ini tiada nilai ekspresif dalam keindahan, kecantikan dan kehalusan itu tetapi nilai ekspresifnya dapat dilihat kepada penggunaannya yang boleh merawat wanita selepas bersalin semasa dalam pantang 40 hari. Dengan adanya fungsi berdiang itu adalah untuk mengelakkan sakit pinggang, mempercepatkan kecut peranakan dan otot badan. Ia memperlihatkan bahawa ia berasaskan kepada tradisi budaya iaitu penggunaan api dalam perubatan. Penggunaan api itu melambangkan salah satu elemen penting dalam kehidupan.
Simbolik:
Menurut informan pengkaji, rawatan berdiang atau bersalai ini tiada petua pantang larangnya dalam menggunakan rawatan ini tetapi ia dilakukan dalam tempoh pantang larang wanita selepas bersalin. Rawatan berdiang atau bersalai ini adalah harus diamalkan ketika dalam pantang 40 hari selepas bersalin. Selama 40 hari itu dikira dari hari pertama bersalin dan adalah menjadi adat kepada wanita tersebut untuk menjalani pantang. Ini beerti wanita itu ditegah daripada makan sebarang mengikut kehendaknya atau membuat apa jua kerja rumah walaupun bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya. Setelah 7 hari, wanita itu boleh dibenarkan berjalan. Pantang ini dianggap suatu perkara yang penting walaupun wanita itu merasakan dia mampu membuat kerja rumah atau sebagainya. Ketika dalam pantang, wanita tersebut dikehendaki memakai stokin atau membalut kakinya dengan kain untuk mengelakkan angin masuk ke badan. Di dahinya pula akan dilumurkan ubat yang bertujuan menarik angin keluar dari badan. Nilai kepercayaan wanita mengenai rawatan berdiang atau bersalai ini amat kuat kerana wanita yang mengamalkan rawatan ini boleh merasakan kepuasan, berfaedah dan berguna tanpa memikirkan secara rasional dan menganggap apa yang dilakukannya itu sebagai yang bernilai. Tambahan lagi nilai budaya sesuatu komuniti termasuklah wanita selepas bersalin ini, dipengaruhi dengan apa yang dilihatnya dan mempercayai dan diikutinya.