Rawatan perubatan tradisi adalah salah satu warisan yang wujud dalam masyarakat Melayu Brunei. Salah satu rawatan perubatan tradisi itu ialah rawatan berdiang yang digunapakai oleh wanita selepas bersalin (beranak) semasa dalam tempoh pantang 40 hari. Ia juga dikenali sebagai rawatan bersalai kerana mempunyai fungsi yang sama. Rawatan berdiang atau bersalai ini diwarisi secara turun-temurun sejak dari dulu lagi dari satu generasi ke satu generasi yang lain sehingga sekarang. Dalam aspek rawatan perubatan, masyarakat Melayu Brunei cenderung untuk berubat kampong disamping berubat hospital yang dikenali sebagai kemajuan saintifik dalam rawatan perubatan moden. Ia merupakan satu alternatif di kalangan masyarakat Melayu (Mas Irun Alli, 2005). Begitu juga dengan rawatan berdiang atau bersalai yang telah diwarisi sejak dari dulu lagi daripada orang-orang tua yang terdahulu. Cara rawatan perubatan tradisi seperti ini masih kekal sehingga kini kerana kaitannya dengan kepercayaan, amalan dan agama. Masyarakat yang terdahulu percaya bahawa rawatan berdiang atau bersalai ini boleh merawat wanita yang baru lepas melahirkan anak. Amalan berdiang ini telah memang dilakukan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
Rawatan tradisi ini merangkumi rawatan halus iaitu roh dan semangat manusia (spiritual) dan rawatan kasar iaitu tubuh badan (fizikal). Kedua-duanya saling berkaitan dan mempengaruhi antara satu sama lain. Rawatan berdiang atau bersalai ini dikategorikan di dalam rawatan kasar kerana dipercayai dapat mengecutkan peranakan. Dengan itu, wanita yang mengamalkan rawatan berdiang atau bersalai ini akan cepat sembuh dan memiliki badan yang langsing. Kepercayaan terhadap rawatan perubatan tradisi sudah lama dipratikkan sejak dari dulu lagi dan disebarkan secara lisan. Rawatan berdiang atau bersalai ini diajar dan dipraktikkan oleh orang-orang tua yang mempunyai banyak pengalaman terutama sekali bidan. Pada pandangan masyarakat Brunei, ‘rawatan berubat kampung’ yang juga dikenali dengan berubat secara tradisional yang sangat popular jika dibandingkan dengan rawatan moden. Pada perspektif masyarakat Melayu pula, rawatan perubatan tradisi adalah merupakan rawatan yang boleh merawat penyakit seperti patah tulang, salah urat, sakit kepala dan sebagainya yang berkaitan dengan yang mengubati seperti dukun, pawang dan bidan. Menurut falsafah perubatan dan rawatan pula, penjagaan kesihatan itu lebih baik daripada rawatan penyakit. Begitu juga dengan rawatan berdiang atau bersalai, ia mampu mengelakkan penyakit dan dapat menyembuhkan luka selepas beranak (bersalin). Menurut beberapa pendapat, rawatan berdiang ini sama dengan rawatan bertangas. Namun begitu, pengkaji mendapati akan perbezaan keduanya.