Sejarah dan Latar Belakang

Kebanyakkan pengamal rawatan perubatan tradisional Melayu mengkategorikan punca penyakit kepada yang bersangkutan dengan 2 elemen yang utama dalam tubuh, iaitu:

  • Darah: ia perlu "panas" tetapi tidak boleh berlebihan dan panas itu didapati daripada unsur "api".
  • Angin: disalurkan melalui urat. Jika banyak angin dalam badan, ia akan menyekat perjalanan darah dan akan menganggu kesihatan.

Dengan adanya rawatan tradisional seperti "berdiang atau bersalai", ia akan menolong mengurangkan penyakit bagi wanita selepas bersalin. "Berdiang atau bersalai" itu dilakukan ketika dalam pantang 40 hari selepas bersalin. Pakar-pakar Antropologi menerangkan bahawa asas amalan pantang-larang kaum Melayu adalah berlandaskan teori 4 elemen yang semestinya dalam keadaan yang seimbang pada badan, iaitu:

  1. Tanah- bersifat kering.
  2. Api- bersifat panas.
  3. Udara- bersifat sejuk.
  4. Air- bersifat basah.

Rawatan berdiang atau bersalai ini mengandungi elemen api iaitu yang bersifat panas. Pada dasarnya, api itu berfungsi untuk memasak, memanaskan badan, untuk kesihatan dan juga berguna untuk industri pembuatan seperti getah yang boleh mencairkan dan mengecutkan. Terdapatnya andaian pengkaji bahawa fungsi api itu ada persamaan dengan fungsi api yang digunakan untuk berdiang atau bersalai. Persamaannya itu adalah api yang digunakan untuk pemanasan badan dan juga kesihatan adalah sama dengan fungsinya dalam rawatan berdiang atau bersalai iaitu untuk mengecutkan peranakan, mengelakkan sakit pinggang, bisa urat serta otot badan dan juga melancarkan perjalanan darah melalui bahang panas berdiang atau bersalai.




Wanita pada dulunya dimestikan melakukan rawatan berdiang atau bersalai semasa dalam pantang bersalin. Pantang larang adalah menjadi kepercayaan masyarakat Melayu kerana ia adalah peraturan berbentuk satu tegahan dalam penjagaan kesihatan dan jika meninggalkan pantang larang itu adalah menjadi kesalahan. Mengikut kaedah perbidanan Melayu, wanita selepas bersalin itu dimestikan berdiang atau bersalai bagi mengelakkan sakit pinggang, bisa urat saraf serta otot badan dan mempercepatkan pengecutan. "Berdiang atau bersalai" ini masih diamalkan oleh wanita Melayu yang patuh kepada petua nenek moyang, terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kampong-kampong.

Berdiang atau bersalai merupakan satu rawatan dalam pantang bersalin yang masih diamalkan oleh wanita di Thailand, Burma dan Kemboja. Variasi bagi rawatan berdiang yang juga dikenali sebagai bersalai ini turut diamalkan oleh wanita Melayu Brunei. Walaubagaimana pun, sekarang, rawatan "berdiang atau bersalai" kurang mendapat sambutan dan digantikan dengan pengunaan teknologi baru seperti pengunaan heater atau set produk seperti pil dan ada juga yang mengantikan rawatan berdiang atau bersalai ini dengan rawatan bertangas atau mandi wap.